KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah akan terus bersuara mengenai isu pencerobohan tanah di negeri ini sehingga kegiatan itu dihentikan sepenuhnya.
Bagaimanapun, baginda bertitah usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk penyaluran maklumat daripada rakyat dan gerak kerja pejabat daerah dan tanah serta Jabatan Perhutanan Negeri.
“Saya akan bersuara apabila ada pencerobohan bukan sahaja di Raub dan Cameron Highlands, malah seluruh daerah di Pahang, tetapi saya tak mampu buat sendiri, harap rakyat beri maklumat kepada pejabat saya dan kerajaan…kalau mereka tidak beri maklumat mungkin susah nak awasi,” titah baginda.