KUALA LUMPUR: Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menandakan komitmen besar negara, mentransformasikan landskap perindustrian Malaysia ke arah ekonomi lebih kompleks, berteknologi tinggi, hijau dan inklusif.
Pelan tujuh tahun digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berpaksikan empat misi utama, iaitu mempercepat adaptasi teknologi, mendorong transisi hijau menjamin keselamatan ekonomi serta memastikan penyertaan menyeluruh merentas wilayah dan lapisan masyarakat.
Dalam menjayakan aspirasi besar itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) muncul sebagai pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah bersifat adaptif, inovatif dan relevan dengan kehendak industri moden.
