PETALING JAYA: Tindakan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Sekretariat Orang Melayu dan menjemput ahli Umno menyertainya tidak lebih daripada kitaran ulangan percubaan politik yang gagal.
Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata bekas perdana menteri itu berulang kali gagal menyatukan orang Melayu melalui platform politiknya sebelum ini iaitu Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang, malah semua calonnya hilang deposit pada PRU15.
GTA ditubuhkan pada 2022 sebelum PRU15, namun terkubur setahun selepas itu apabila Mahathir selaku pengerusi mengakui gerakan itu sudah tidak berfungsi. Sebelum itu, beliau mengasaskan Pejuang bersama bekas pemimpin Bersatu namun turut keluar parti pada Feb 2023.