KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penjara Taiping mengakui memukul beberapa banduan beberapa kali ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari lalu, dengan menyatakan tindakan itu berlaku ‘spontan’ dan akibat tekanan susulan menerima provokasi lisan.
Saiful Azman, 43, berpangkat sarjan, dalam prosiding inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memberitahu beliau diarah masuk Dewan B untuk mengawal keadaan, beliau terpaksa menggunakan belantan terhadap beberapa banduan — termasuk selepas mereka duduk dengan tangan di atas kepala tanda menyerah diri.
Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus dan Pesuruhjaya Farah Nini Dusuki yang mengetuai panel menyiasat dakwaan kira-kira 60 warden menyerang lebih 100 banduan di Penjara Taiping, pada 17 Jan lalu.