PETALING JAYA: Sebagai usaha membangunkan pemimpin muda dalam kalangan belia, Kementerian Perpaduan Negara menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada Yayasan Tun Razak bagi melaksanakan program kepimpinan belia berimpak tinggi.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu selari dengan agenda pembinaan negara bangsa serta perpaduan yang menjadi keutamaan kementerian, selain memperkukuh kualiti kepimpinan generasi muda pada masa depan.
Katanya, peruntukan tersebut disalurkan sebagai usaha membangunkan pemimpin muda dalam kalangan belia menerusi penganjuran program kepimpinan di samping mengambil inspirasi daripada perjuangan dan nilai serta sumbangan perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.
