PETALING JAYA: Bedah siasat mendapati dua beranak yang dibunuh dalam kejadian tragis di Juru malam tadi maut akibat luka parah pada bahagian leher dipercayai akibat senjata tajam.
Pakar Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Dr Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa cedera serius pada bahagian belakang leher yang dipercayai menjadi punca utama kematian mereka.
“Luka yang dialami sangat teruk dan berpunca daripada senjata tajam seperti pisau pemotong daging,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya hari ini, lapor Sinar Harian.