KUALA LUMPUR: Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ogos lalu kerana disyaki membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup, dikecualikan daripada sebarang operasi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata mereka kini ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing sementara siasatan kes itu dijalankan oleh ATM bersama pihak berkuasa.
“Kita tegas dalam siasatan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya, jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil kerana keutamaan kita ialah integriti, namun sekiranya tidak, mereka akan dipulangkan kepada (bahagian) operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.