PEKAN: Sebanyak 85% pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengakui berlaku perubahan positif dalam diri mereka selepas menamatkan latihan, kata Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Abdul Aziz Zainal.
Beliau berkata, berdasarkan maklum balas diterima, majoriti pelatih mengakui mereka kini lebih matang serta memahami bahawa kehidupan di Malaysia memerlukan kerjasama erat antara kaum.
“Mereka berpeluang bergaul dengan rakan daripada pelbagai latar belakang, makan bersama, tidur bersama, berlatih dan menempuh cabaran secara berkumpulan. Pengalaman itu membentuk persefahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam antara satu sama lain,” katanya.
