KUALA LUMPUR: Mana-mana badan pensijilan halal luar negara termasuk dari Amerika Syarikat (AS), tertakluk sepenuhnya kepada prosedur keselamatan, aspek syariah, audit, kebersihan dan standard Sistem Pensijilan Halal Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan status pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mesti mematuhi sepenuhnya semua keperluan ditetapkan oleh Malaysia tanpa sebarang pengecualian.
Katanya, Perkara 2.5 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf Jakim bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan, namun semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir sepenuhnya di bawah kawalan jabatan itu.
