KUALA LUMPUR: Perbadanan Putrajaya (PPj) tidak meneruskan cadangan penyediaan perkhidmatan trem tanpa landasan atau kenderaan transit aliran automatik (ART) di Putrajaya susulan kos pelaksanaan terlalu tinggi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Lo Su Fui, berkata hasil kajian awal mendapati anggaran kos pelaksanaan ART termasuk pembangunan infrastruktur, sistem, operasi dan penyelenggaraan mencecah RM211.95 juta untuk tempoh 10 tahun.
“Kos ini di luar kemampuan kewangan PPj sebagai pihak berkuasa tempatan. Atas dasar tersebut, PPj tidak meneruskan cadangan pelaksanaan ART di Putrajaya serta tiada cadangan untuk peluasan jajaran untuk fasa seterusnya,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
