PETALING JAYA: Pemuda DAP (Dapsy) Selangor tampil mempertahankan Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong yang dikritik selepas memuat naik gambar Mursyidul Am PAS Hashim Jasin dalam keadaan uzur, yang disunting untuk seolah-olah memperlekehkannya.
Sayap itu berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan menyekat kebebasan bersuara atau memberikan tekanan politik melalui penggunaan memorandum yang menurutnya ‘berunsur ancaman dan kemunafikan politik’.
“Kami melihat memorandum ini bukan sebagai seruan (ke arah mengamalkan) ‘akhlak politik’, tetapi sebagai kemarahan politik kerana dikritik,” katanya dalam kenyataan, merujuk memorandum bantahan yang diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar pagi tadi.
