IPOH: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencemaran air yang dikatakan menjejaskan Sungai Bidor.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi, A Sivanesan, berkata agensi terlibat menjalankan siasatan di lokasi kejadian hari ini dan mengambil beberapa sampel air dari titik-titik strategik untuk dihantar ke makmal bagi analisis lanjut.
“Sampel telah diambil di dua lokasi, iaitu ladang babi dan ladang itik di Batu 2 1/2 Jalan Bruseh dekat Bidor dan hasil siasatan mendapati ladang babi terbabit mematuhi peraturan yang ditetapkan, namun sampel efluen di bahagian ‘discharge end’ ladang dan ‘discharge pipe’ di kawasan sungai telah diambil serta dihantar ke makmal untuk ujian biochemical oxygen demand (BOD).