PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) telah mengambil keterangan dan merakam percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, individu-individu terbabit telah dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi untuk diambil keterangan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan, dan mereka memberikan kerjasama baik.
“Rakaman percakapan tersebut dijalankan berdasarkan Seksyen 59 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya dalam kenyataan.
