KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Profesion Undang-undang (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga.
Pindaan pada Akta Profesion Undang-undang (Akta 166) ini antara lain menambah baik pengurusan dan penguaditan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB). Fasal 3 RUU itu bertujuan menggantikan Seksyen 7 untuk mengadakan peruntukan bagi keanggotaan LPQB. Fasal ini bertujuan mengadakan peruntukan bagi kuasa menteri untuk melantik anggota LPQB yang tertentu dan perkara yang berhubungan dengannya.
Di bawah pindaan itu, keanggotaan LPQB haruslah terdiri daripada peguam negara selaku pengerusi, pengerusi majlis peguam sebagai timbalan pengerusi, seorang hakim yang dinamakan oleh ketua hakim negara, ketua pengarah bahagian hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, dan ketua pendaftar.
