PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka Mas Ermieyati Samsudin mempertahankan keputusan untuk kekal memegang jawatan itu, walaupun berdepan desakan pihak tertentu.
Mas Ermieyati menjelaskan, beliau tidak melepaskan jawatan itu, walaupun susulan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN, kerana ingin memastikan kestabilan organisasi peringkat negeri, termasuk persediaan menghadapi PRN Melaka.
“Keputusan untuk tidak meletakkan jawatan ini bukanlah didorong oleh sebarang kepentingan peribadi, apatah lagi kerana ingin mempertahankan jawatan atau kuasa. Sebaliknya, ia dibuat atas pertimbangan tanggungjawab, kestabilan organisasi serta kepentingan perjuangan PN pada peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan.
