PUTRAJAYA: Monsun barat daya (MBD) yang bermula 10 Mei lepas dan akan berterusan hingga September dijangka tidak menyebabkan keadaan cuaca panas ekstrem, berikutan status semasa corak iklim El Nino Southern Oscillation (Enso) kini berada dalam fasa neutral.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Abdul Halim Hamzah berkata berikutan itu, impak kemarau yang sering dikaitkan dengan MBD dijangka tidak teruk pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
“Walaupun MBD lazimnya membawa cuaca yang lebih kering ke Semenanjung, status neutral Enso bermakna impak kemarau teruk seperti yang sering dikaitkan dengan El Nino adalah kurang berkemungkinan.