PETALING JAYA: Syarikat perkhidmatan bas Kenari Utara Travel & Tours Sdn Bhd didenda sejumlah RM20,000 kerana gagal mematuhi syarat lesen yang melarang urus niaga dengan sebuah syarikat tidak berlesen.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dalam kenyataan memaklumkan, Kenari Utara Travel & Tours mengaku bersalah atas dua tuduhan, iaitu menjual bas persiaran bernombor pendaftaran PLD 8892 dan menyewakan permit kenderaan itu kepada Noreen Maju Trading, sebuah syarikat yang mengendalikan kegiatan pelancongan tanpa lesen di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Hakim Mahkamah Majistret Gerik Tuan Muhammad Firdaus Nor Azlan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 bagi setiap tuduhan, dan kegagalan membayar denda boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun.
