KUALA LUMPUR: Perdana menteri kelima Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang sebagai figura yang mengangkat badan kehakiman ke persada lebih dihormati.
Bekas pengerusi pertama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) Zaki Azmi berkata suruhanjaya itu yang ditubuhkan pada 2009 semasa Abdullah menjadi perdana menteri bertujuan memastikan pelantikan hakim-hakim dilaksanakan secara lebih teratur.
“Dengan adanya SPK, nama-nama calon (hakim) ditapis dahulu. Hal ini menunjukkan bahawa apabila merujuk kepada soal kehakiman, Pak Lah mahu tunjukkan kebebasan pelantikan hakim yang bukan berasaskan politik langsung, tetapi atas meritokrasi.