PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan tidak menyalahgunakan Akta Hasutan terhadap rakyat selepas polis memaklumkan akan meneliti ucapan berbaur 3R (agama, kaum dan institusi diraja) dalam perhimpunan pembangkang di Dataran Merdeka, minggu lalu.
Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali berkata walaupun siasatan adalah hak pihak berkuasa, namun beliau yakin ia akan menjurus kepada Akta Hasutan.
“Tak nampak pun bayang nak mansuhkan (Akta Hasutan), malah sekarang ini menyalahgunakan lagi sekali ke atas rakyat,” katanya dalam sidang media di ibu negara ketika mengulas penahanan beberapa individu menyertai perhimpunan pada Sabtu lalu.