PETALING JAYA: Perjanjian perdagangan yang dimeterai Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) semalam akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana ia memaksa Putrajaya akur pada peraturan Washington berhubung perdagangan dan pelaburan, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali.
Azmin, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, menyifatkan salah satu fasal paling memudaratkan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS adalah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menuruti sebarang sekatan perdagangan atau sanksi yang dikenakan AS ke atas negara lain.
“Sekiranya Washington membuat keputusan menyekat kemasukan import dari China atau Rusia, Malaysia diwajibkan berbuat demikian, sekalipun ia akan merugikan ekonomi kita,” kata Azmin dalam kenyataan hari ini.
