PETALING JAYA: Langkah Sarawak failkan petisyen mencabar kesahihan tiga undang-undang petroleum di Mahkamah Persekutuan akan membawa kejelasan dalam pertikaian dengan Petronas, sekali gus mengukuhkan perkara itu dalam kerangka perlembagaan negara, kata penganalisis.
Pensyarah adjung di Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman berkata langkah itu merupakan ‘peningkatan (pertikaian) yang disengajakan dan membawa kesan besar’ terhadap apa yang sebelum ini dianggap sebagai sekadar perselisihan kawal selia melibatkan syarikat minyak nasional.
“Dengan meminta mahkamah tertinggi menentukan kesahihan perlembagaan dan keberterusan pemakaian Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) serta berkaitan statut persekutuan ke atas Sarawak, negeri itu mengalihkan pusat graviti perbahasan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.
