KUALA LUMPUR: Langkah menyita simpanan kewangan bekas suami culas membayar nafkah sedang diusahakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sudah mengadakan perbincangan dengan Bank Negara (BNM) bagi membolehkan pelaksanaan langkah itu menerusi perintah Mahkamah Syariah.
“Jadi, yang ini akan dibuat oleh pihak BSK dan perbincangan itu telah dibuat dengan Bank Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
