KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman mengesahkan akan meninggalkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkuat kuasa akhir bulan ini, selepas tiga tahun menerajuinya sejak Januari 2023.
Mengesahkan perkara itu kepada Bernama, Suhaimi berkata pengunduran beliau daripada jabatan itu adalah keputusan peribadi selepas membuat pertimbangan terperinci terhadap hala tuju peribadi, selain mahu melangkah ke fasa baharu dalam hidup.
“Saya kini berusia 64 tahun. Sebelum ini saya sudah bersara, kemudian dipelawa untuk membantu RTM. Pada saya, perkara ini (melepaskan jawatan) sesuatu yang biasa dalam pekerjaan.
