PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau mengambil keputusan tidak bertanding dalam pemilihan sulung Muda kerana kes mahkamah yang dihadapinya masih berjalan.
Bekas menteri itu berkata, beliau tidak mahu kes subahat dalam jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya menghalang Muda, parti yang diasaskannya, daripada terus maju ke hadapan.
“Saya mengasaskan Muda dengan kepercayaan yang mudah tetapi tegas bahawa politik mestilah bersih sebersih-bersihnya dan kepimpinan mestilah suci tanpa sebarang cela. Malaysia berhak memiliki institusi yang lebih kuat daripada mana-mana individu,” katanya, sambil menambah bahawa kepercayaan ini tidak pernah berubah.
