PETALING JAYA: Sebarang tindakan terhadap Telekom Malaysia Bhd (TM) susulan masalah yang berlaku pada lima hari pertama pelaksanaan platform baharu Next Generation Emergency Services 999 (NG999) tertakluk kepada penelitian jawatankuasa bersama, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau memberitahu Dewan Negara bahawa kementeriannya akan ikut berpandukan apa yang termaktub dalam kontrak yang telah ditandatangani dengan TM sekiranya jawatankuasa itu mendapati terdapat pelanggaran.
“Sekiranya ada penalti yang boleh dikenakan, saya serahkan kepada pasukan yang meneliti,” katanya yang dipetik Bernama sebagai berkata bagi menjawab Senator A Ligeshwaran yang bertanyakan kemungkinan bentuk tindakan terhadap TM.
