PETALING JAYA: Ahli Parlimen pembangkang tiada masalah menyokong rang undang-undang (RUU) pindaan perlembagaan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada 10 tahun yang akan dibentangkan semula di Dewan Rakyat, Jun depan.
Beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) memberitahu FMT bagaimanapun sokongan itu hanya diberi jika pandangan mereka diambil kira seperti merujuk pelantikan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu serta mengasingkan kuasa menteri kewangan dan perdana menteri.
Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata dua perkara besar itu diharap dimasukkan dalam tambah baik kepada RUU terbabit yang gagal diluluskan kerana tidak disokong dua pertiga wakil di Dewan Rakyat.
