PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi yang dilantik menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda perlu segera menunjukkan hasil nyata untuk menarik balik sokongan peneroka kepada parti itu, kata penganalisis.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kemerosotan sokongan yang semakin ketara pada PRU15 bukan berpunca kekuatan Perikatan Nasional (PN) dan perubahan ideologi pengundi sebaliknya rasa kecewa mereka.
Menurutnya, kekecewaan itu didorong tekanan ekonomi seperti kos sara hidup, selain persepsi Umno dilihat terlalu elit dan jauh daripada realiti kehidupan peneroka.
