PETALING JAYA: Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025 anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berlangsung dari 26 Sept hingga 2 Nov lalu mencatat kejayaan dengan terimaan deposit berjumlah RM251.44 juta atau 114.30% berbanding sasaran awal sebanyak RM220 juta.
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata, pencapaian ini mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.
Katanya, penganjuran BMS 2025 merupakan manifestasi iltizam PTPTN selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh usaha perancangan kewangan jangka panjang demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.
